Soalan:
Salam ustaz, adakah haram memakai gelang kaki tapi tidak ada loceng?
Bagaimana pula hukumnya tentang pemakaian gelang tangan berloceng?mohon
penjelasan terperinci dari ustaz.
Jawapan:Bila termenung jauh memikirkan masalah
wanita sekarang ini, memang kebanyakkan wanita ini pada setiap hari
dalam kehidupan mereka dibelenggu dengan dosa-dosa tanpa disedari oleh
mereka. Kadang-kadang saya lihat wanita yang faham agama juga terlibat
dengan masalah ini. Alasan mereka Islam tidak melarang berhias dan
bercantik-cantik. Paling malang lagi, mereka mengajarkan orang lain
dengan pandangan mereka yang singkat tanpa menjelaskan secara terperinci
pakaian yang dikehendaki oleh Islam. Saya tidak mahu menyentuh dan
membahas secara panjang masalah pakaian wanita ini, sebab sebelum ini
juga saya telah buat beberapa artikel yang berkaitan dengan masalah
pakaian wanita ini. Di kesempatan yang ada ini, saya hanya fokus kepada
persoalan yang telah dikemukakan di atas iaitu hukum pakai gelang kaki
tanpa loceng. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur : 31)
Berdasarkan
firman Allah di atas ini, jelas bagi setiap wanita tentang tatacara
berpakaian yang dituntut di dalam Islam. Malah wanita tidak dibenarkan
berjalan secara berhentak-hentak kaki kerena ia mampu menarik perhatian
orang lain yang bukan mahramnya. Ini juga dapat menimbulkan fitnah
buatnya. Perlu diketahui bagi sekelian wanita yang cintakan Islam yang
memakai kasut bertumit, apabila mereka berjalan ia akan mengeluarkan
bunyi yang kuat, ini juga boleh menarik perhatian dan minat orang yang
bukan mahram terutamanya lelaki. Perkara ini juga boleh digolongkan
dalam larangan Allah akan wanita yang berjalan dengan hentak-hentak kaki
dan mengeluarkan bunyi. Begitu juga bagi wanita yang memakai gelang
kaki berloceng, bila berjalan ia dapat menghasilkan bunyi gelang dan
perbuatan ini juga sangat dilarang di dalam Islam. Tegahan ini telah
dibuatkan di dalam Kitab Bahrul Mazi memakai loceng adalah ditegah oleh
syarak kerana bunyi loceng itu menyebabkan tiada malaikat Rahmat
mendekatinya. Penegasan ini berdasarkan kepada Hadis Rasulullah yang
bermaksud :
“Tiada menyertai malaikat Rahmat bersama jamaah (kumpulan) yang ada di dalamnya anjing dan loceng” (Riwayat Tarmizi)
Penegasan ini juga termasuk loceng yang terdapat digelang kaki dan
juga loceng yang terdapat dipergelangan tangan. Bagi sesiapa yang
melakukannya, maka lebih baik bertaubat dan meninggalkan perbuatan
tersebut. Ini akan merugikan kita semua. Kalau ada wanita yang memakai
gelang kaki tanpa ada loceng, ini tidak menjadi masalah dan perbuatan
tersebut adalah harus, kerena ia tidak dapat menarik perhatian orang
lain, tambah lagi gelang kakinya disembunyikan disebalik pakaiannya.
Apa-apapun bergantung kepada niatnya, kalau ia pakai untuk menarik
perhatian orang yang bukan mahram akan perhiasan yang dipakai olehnya,
maka ia boleh mendatangkan dosa dan maksiat. Kadang-kadang setengah
wanita mereka memakai atas sebab keinginan kekasih lelaki mereka atas
alasan apabila mereka pakai akan lebih menarik dan cantik. Tidak menjadi
masalah kalau perbuatan tersebut disebabkan suruhan suami. Secara
logiknya, kebanyakkan wanita yang memakai gelang kaki, tidak menutup
aurat kaki dengan memakai stokin atau seumpamanya. Mungkin disebabkan
sukar kerana gelang tidak dapat dimasukkan ke dalam stoken atau takut
orang lain tidak nampak. Kalau begini punya persepsi, maka sudah pasti
ia menjadi dosa.
Sumber: http://www.ustaznoramin.com/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar