Selepas
iman dan akidah, pengukuhan iman seorang Muslim dikuatkan dengan
keimanan kepada Rasulullah. Beriman kepada rasul juga mesti sampai ke
peringkat buat apa yang nabi buat, bukan pilih-pilih tapi segala-galanya
mesti diikut kerana segala perbuatan nabi adalah wahyu daripada Allah.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Tiadalah segala yang datang dari nabi itu nafsu melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya.”
Jadi kita perlu melakukan apa yang nabi suruh kita lakukan. Itu sebab
nabi diutus dalam bentuk manusia. Bayangkan jika malaikat jadi nabi,
kita pasti susah mahu ikut kerana malaikat tak makan, tak minum, tak
kahwin.
Kehidupan Rasulullah berlandaskan wahyu Allah. Semua orang makan,
tapi jika makan cara nabi jadi ibadat. Begitu juga kahwin, nabi ajar
cara perkahwinan yang betul, begitu juga hiburan, nabi mengajar cara
berhibur yang betul.
Kenapa mesti kita mencintai Rasulullah? Pertamanya, kerana nabi
terlalu cinta kepada kita. Apa bukti nabi sangat cinta pada kita?
Bacalah sejarah, sebelum nabi wafat, antara perkataan akhir nabi ialah “ummati, ummati” (umatku, umatku) umat nabi itu kitalah.
Menurut satu riwayat lain, ketika nabi dibangkitkan di Padang Mahsyar
kelak antara perkataan pertama nabi tanya kepada malaikat Jibril ialah “Di mana umatku?”
Nabi juga pernah menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud:
“Bahagialah siapa yang melihat ku dan beriman padaku” kemudian nabi sebut tiga kali: “Bahagialah, bahagialah, bahagialah siapa yang tidak melihatku tapi beriman denganku.”
Orang yang tak lihat nabi tapi beriman pada nabi, antaranya kitalah,
nabi puji kita tiga kali. Sebab kedua kenapa mesti mencintai nabi sebab
cinta nabi tanda sempurnanya iman seseorang Muslim.
Maknanya kalau tak cinta nabi tak sempurnalah iman kita. Sabda nabi yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu dan manusia seluruhnya.”
Saidina Umar pernah satu hari berkata pada nabi,
“Aku sayangi diriku, lepas tu baru aku sayang padamu, wahai Rasulullah. Nabi menjawab, cintailah aku lebih daripada cinta pada dirimu, barulah sempurna iman kamu.”
Ketiga, nabi sangat banyak jasa kepada kita, jasa nabi bukan
sembarangan, bukan kecil, tak boleh ditebus dengan wang ringgit. Jasa
nabi pada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar.
Nabi sanggup berkorban harta, isteri baginda jadi miskin, bergadai
untuk membuat modal bagi menjalankan dakwah. Rasulullah berjuang
mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke
dalam hati kita.
Itulah kenapa kita perlu sangat bersyukur merasai nikmat iman dan
Islam kerana bapa saudara nabi sendiri, Abu Talib, walaupun nabi sudah
melakukan dakwah tetapi masih tidak dapat terima Islam.
Jadi begitu mahalnya nilai Islam ini sebenarnya kepada kita semua.
Kemudian, kita mesti cinta nabi sebab nabi makhluk Allah yang maksum,
yang tidak ada salah apatah lagi cacat cela.
Rasulullah terpelihara daripada segala aib. Malahan baginda mendapat
pula al-Quran sebagai mukjizat, sebagai panduan. Jelas sekali mencintai
nabi bermakna kita mencintai seorang yang agung dan amat mulia.
Justeru cintailah nabi Muhammad kerana baginda membimbing kita kepada
kebenaran, huraikan ayat al-Quran agar kita mudah memahaminya, nabi
juga tak jemu-jemu memberi nasihat agar umatnya selamat dan berbahagia
di dunia dan akhirat.
Akhir sekali kenali nabi dengan mempelajari sirah nya, memahami
hadisnya dan cintailah nabi dengan mencintai apa yang dicintainya.
Nabi Muhammad patut diikuti dan disayangi sebab pada nabi ada segala-galanya.
Baginda paling cantik dan dialah yang paling hebat. Cuma kita saja
tak tahu kerana tidak baca secara mendalam perjalanan sirah nabi dan
jika baca pun sambil lalu saja.
Nabi Muhammad cemerlang dalam pelbagai dimensi. Cerita nabi lengkap
daripada mula lahir, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga tua dan
wafat.
Kehebatannya cukup terserlah sejak dari kelahirannya, ketika
kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga baginda tua dan wafat. Daripada
orang biasa, baginda mengasaskan kemudian mengembangkan agama yang
terhebat di dunia.
Oleh: Ustaz Zawawi Yusoh
Tidak ada komentar:
Posting Komentar